الأخبار

الأخبار

Mercy Malaysia optimis kerajaan lebih terbuka bantu pelarian Rohingya

Mercy Malaysia optimis kerajaan lebih terbuka bantu pelarian Rohingya

التاريخ : 07 January 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

GOMBAK: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) optimis kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersikap lebih terbuka dalam membantu pelarian Rohingya di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, berkata hasrat itu sejajar dengan langkah kerajaan untuk meratifikasi Kovensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian 1951 seperti yang termaktub dalam Manifesto PH.

“Tidak dinafikan kerajaan membuka ruang untuk perbincangan, malah kita bantu kongsi input bagi memperkasakan etnik Rohingya merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, perlindungan dan ratifikasi.

“Sudah sampai masanya beberapa isu penting disuarakan untuk perhatian kerajaan.

“Bukan mudah untuk melaksanakannya (ratifikasi) kerana kerajaan ada permasalahan dan kekangan yang kita tidak nampak.

“Bagaimanapun, kita perlu membantu kerajaan untuk mencapai rumusan yang lebih baik,” katanya selepas menghadiri persidangan Makmal Kemanusiaan 2.0 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Hadir sama, bekas duta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak serta wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR), Rachel Demas.

Persidangan kali kedua itu turut disertai lebih 200 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Syed Hamid yang juga Penasihat Eksekutif Pusat Rohingya Asean (ARC), berkata persidangan terbabit adalah usaha berterusan bagi menyelesaikan isu utama secara berperingkat.

“Kita perlu lebih praktikal dan tumpu terhadap masalah yang membelenggu etnik Rohingya, malah semua pihak memainkan peranan kerana mereka adalah suara yang akan disampaikan kepada kerajaan,” katanya.

Resolusi persidangan itu akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang dijadualkan menghadiri majlis penutup esok.

Sehingga Disember lalu, 87 peratus daripada 164,000 pelarian di Malaysia terdiri daripada rakyat Myanmar, bagaimanapun jumlah terbabit mungkin lebih kerana masih ramai pelarian yang belum direkodkan.

Source Berita Harian