الأخبار

الأخبار

Negara perlukan konsep 'Rahmatan Lil Alamin'

Negara perlukan konsep 'Rahmatan Lil Alamin'

التاريخ : 14 September 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

GOMBAK: Pelancaran Minggu Rahmatan Lil’Alamin penting dalam memberikan kefahaman kepada orang ramai terhadap dasar dan gagasan itu kepada negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof, berkata menerusi acara seminar antarabangsa dan pelancaran buku dianjurkan, ia dapat menjawab segala pertanyaan berhubung disiplin Rahmatan Lil Alamin secara jelas, jauh daripada ‘hingar-bingar politik’.

“Buku Rahmatan Lil Alamin adalah tulisan ahli akademik yang membincangkan pelbagai disiplin Rahmatan Lil Alamin yang akan menjawab segala kekeliruan dan tuduhan terhadap konsepnya yang mana ia pada hakikatnya sangat diperlukan.

“Dasar ini sebenarnya menyatukan umat Islam. Ia gagasan besar yang cuba kita bawa sebagai dasar yang memberikan kebaikan kepada semua, dalam keadaan dunia dan negara yang penuh dengan kebencian dan perkauman.

“Saya berharap universiti lain akan turut bekerjasama dalam kolaborasi seperti ini,” katanya pada sidang akhbar majlis pelancaran Minggu Rahmatan Lil Alamin (RLA) dan logo Rahmah di sini hari ini.

Yang hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, (MIAWP), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pemangku Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Isarji Serudin.

Minggu Rahmatan Lil Alamin anjuran bersama MAIWP dan UIAM.

Mujahid berkata, sebelum ini ada beberapa pihak mendakwa kononnya gagasan Rahmatan Lil Alamin adalah modal untuk liberalkan orang Melayu hingga ia dituduh sebagai pendekatan yang silap termasuk menjadi ‘Rahmatan Lil Kafirin’ atau lebih rahmah kepada orang kafir.

“Bagaimanapun segala cemuhan dan tuduhan mengenai gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diperjuangkan selama ini tidak pernah melunturkan semangat saya.

“Malah saya yakin gagasan berteraskan ‘RAHMAH’ iaitu Rahmah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat ini amat penting untuk negara khususnya dalam menyelesaikan isu perkauman dan jurang kaum yang semakin melebar,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mujahid berkata, beliau terbuka membincangkan dan menerangkan perkara itu di mana-mana medium walaupun diasak dengan soalan sensitif kerana mahu rakyat memahami perkara itu dan bersama-sama kerajaan.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, acara itu dijayakan dalam skala besar membabitkan penyertaan semua 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, selepas acara pelancaran, semua khutbah di Masjid seluruh Wilayah Persekutuan akan berkisar kepada isu Rahmatan Lil Alamin.

“Pada Rabu dan Khamis depan, majlis pelancaran buku dan seminar antarabangsa RLA akan turut diadakan di UIAM.

“Penghasilan buku dan seminar ini membuktikan kita komited dalam memberi penerangan berhubung RLA kepada semua peringkat masyarakat khususnya generasi muda,” katanya.

Sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan dan dihadiri peserta tempatan dan luar negara termasuk dari Brunei dan Singapura.

Sementara itu, Isarji dalam ucapannya berbesar hati menjadi lokasi pelancaran acara.

Katanya ‘Brisk Walk’ yang turut dianjurkan pada majlis pelancaran minggu RLA mendapat penyertaan lebih 2,000 peserta membuktikan sokongan pelajar dan tenaga kerja UIAM untuk menjayakan acara itu.

Pada majlis itu, Mujahid turut menyampaikan hadiah kepada Pemenang Mencipta Logo Rahmah, Wan Muhammad Hafiz Wan Zin, 21.

Logo berkenaan akan digunakan secara rasmi dalam acara berkiatan Rahmatan Lil Alamin.

Source :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/606468/negara-perlukan-konsep-rahmatan-lil-alamin