الأخبار

الأخبار

Sultan Ahmad Shah banyak berjasa kepada pembangunan, pendidikan Pahang

Sultan Ahmad Shah banyak berjasa kepada pembangunan, pendidikan Pahang

التاريخ : 23 May 2019

المحرر : Ariffin Kusetiawan Mukandar

الفئة : News


Share

KUANTAN, 22 Mei (Bernama) -- Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar turut dirasai oleh pemain industri dan institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Mereka menyifatkan almarhum sebagai seorang sultan yang amat berdedikasi dan sentiasa mencari jalan untuk memajukan aspek pembangunan, kebajikan, pendidikan dan kemudahan asas di Pahang. 

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein yang merakamkan sembah takziah atas kemangkatan almarhum menyifatkan baginda sebagai sultan yang amat berjiwa rakyat sepanjang 45 tahun bergelar Sultan Pahang kelima bermula 7 Mei 1974. 

"Kemangkatan almarhum merupakan kehilangan besar kepada ANIH Berhad kerana baginda amat berjasa dan banyak memainkan peranan dalam usaha merealisasikan penubuhan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) pada tahun 2004 untuk kemudahan rakyat," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Nik Fauzi juga mewakili keluarga besar ANIH Berhad merakamkan sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatiuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah serta kerabat Pahang atas kemangkatan tersebut. 

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi. 

Turut mempunyai kenangan dengan almarhum ialah Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang menyifatkan baginda sebagai antara insan yang kerap mengambil tahu perkembangan pembangunan pelabuhan kuantan. 

"Almarhum adalah pemangkin kepada pembangunan pelabuhan ini. Peristiwa paling penting buat warga pelabuhan ialah kesudian almarhum merasmikan Pelabuan Kuantan pada 17 April 1984. 


Semasa itu baginda ialah Yang di-Pertuan Agong ketujuh negara, namun masih berkenan mencemar duli menerima jemputan untuk merasmikan pelabuhan," katanya. 

Almarhum juga disifatkan sebagai sultan yang amat menitikberatkan pembangunan pendidikan di Pahang kerana menyedari kepentingan ilmu untuk mengubah nasib rakyat. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata almarhum banyak menyumbang terhadap pembangunan universiti sehingga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Awam pada Majlis Konvokesyen Komemoratif dan Majlis Konvokesyen Ke-4 UMP pada 2009. 

"Almarhum telah menyempurnakan peletakan batu asas kampus tetap UMP di sini pada 2 Nov 2002 dan pembangunan kampus tetap di Kuala Pahang, Pekan yang kini menjadi mercu tanda sebagai salah satu universiti teknologi terunggul bertaraf dunia," katanya. 

Wan Azhar berkata universiti itu juga telah menerbitkan buku bertajuk ‘The Ruler, The Builder, The Engineer’ sebagai menghargai jasa Sultan Ahmad Shah dalam bidang Kejuruteraan Awam yang begitu berkait rapat dengan jasa almarhum dalam pembangunan negeri. 

Turut merakam sembah takziah ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang mengesahkan bahawa almarhum merupakan Ketua Perlembagaan pertama UIAM sejak penubuhan universiti itu pada tahun 1983. 

"Almarhum merupakan tonggak utama UIAM sejak penubuhan universiti ini dan kemangkatan baginda merupakan kehilangan yang amat besar kepada seluruh warga UIAM," katanya. 

-- BERNAMA

Full article at http://www.bernama.com/bm/news...