الأخبار

الأخبار

UIAM tawar pengajian kepada pelajar kudung

UIAM tawar pengajian kepada pelajar kudung

التاريخ : 19 March 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengalu-alukan hasrat pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, Kota Bharu, Kelantan, Muhammad Ridzwan Roslan, 18, yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di universiti itu.

Calon berkeperluan khas dan orang kelainan upaya (OKU) yang kudung tangan sebelah kiri itu memperoleh pencapaian cemerlang 9A 1B (4A+, 4A, 1A-) pada pengumuman SPM 2018, Khamis lalu.

Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata pihaknya menyambut baik kehadiran beliau sebagai pelajar di universiti itu untuk kemasukan pelajar baharu Jun ini.

“Pihak UIAM amat berbesar hati dan bersedia menerima Muhammad Ridzwan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan seperti dihasratkan, malah kami juga mengamalkan polisi inklusif OKU.

“Kami berusaha menambah baik segala kemudahan kepada seluruh warga kampus dan kakitangan termasuk bagi pelajar berkeperluan khas untuk semua kategori yang kini semakin meningkat bilangannya kepada seramai 84 pelajar,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM, hari ini.

Prof Dzulkifli berkata, Muhammad Ridzwan akan ditawarkan pengajian pada peringkat asasi sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan seperti diinginkan.

“Kami melihat minat pelajar golongan OKU untuk menyambung pengajian di sini sebagai pilihan tepat memandangkan universiti ini mengamalkan dasar inklusif OKU dan ini bermakna UIAM adalah universiti yang mesra OKU.

“UIAM bukan sahaja mengalu-alukan hasrat Muhammad Ridzwan untuk melanjutkan pelajaran di sini, malah beliau juga akan ditawarkan bantuan kewangan pengajian,” katanya.

Sementara itu, beberapa pegawai dari Pusat Asasi UIAM turut bertemu Muhammad Ridzwan dan keluarga bagi memberi penerangan berkaitan penawaran serta maklumat pengajian di kediamannya di Pengkalan Chepa, Kelantan, semalam.


Source; https://www.bharian.com.my/ber...