UNESCO Online Workshop: Education for Sustainable Development and Lifestyles - Concept Note (Bahasa Melayu)

UNESCO Online Workshop: Education for Sustainable Development and Lifestyles - Concept Note (Bahasa Melayu)

NOTA KONSEP - Dzulkifli (Dzul) Razak

Menjauhkan Diri Daripada Kepompong WEIRD

Ekosistem pendidikan masa kini boleh dirumuskan dengan akronim WEIRD,  iaitu Westernised (atau kebaratan yang merujuk revolusi pasca-industri), Economic-centric (berpusatkan ekonomi), Industry-led (dipacu oleh industri), Reputation-obsessed (taksub dengan reputasi) dan Dehumanizing (hilang nilai kemanusiaan) yang membawa kepada dunia yang tidak berperikemanusiaan (Dzulkifli, 2019).

 

Pandemik Covid-19 telah menonjolkan keadaan “weird” atau pelik seperti dalam akronim, namun tiada usaha dilakukan untuk mengatasi keadaan ini. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan isu berkaitan “rasionalisasi vaksin” dewasa ini.

 

Transformasi Institusi Menyeluruh

 

Bagi menjalankan transformasi, pendekatan Transformasi Institusi Menyeluruh (Whole Institution Transformation (WIT) disarankan untuk perubahan besar-besaran ke arah masa hadapan, yang membabitkan kesemua pemegang taruh di universiti. WIT merupakan suatu pendekatan holistik yang selaras dengan konteks pendidikan tempatan (termasuk budaya, agama dan sebagainya), untuk mencapai kesejahteraan dalam kalangan keluarga, masyarakat, dan negara serta kesejahteraan sejagat. WIT juga mempunyai kaitan dengan matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dikenali sebagai  Pendidikan 2030 bertujuan untuk menggalakkan pembangunan lestari yang inklusif dan yang berteraskan budaya setempat.

 

Mengelakkan Aktiviti Secara Terasing

                                                                                           

Melalui WIT, kewujudan aktiviti secara terasing atau silo sama ada pada peringkat akademik atau pengurusan boleh diminimumkan melalui pendekatan yang konsisten khusus untuk menggabungjalin program secara kolaboratif melalui kerangka pelantar antara-disiplin. Perkara ini bertujuan menjana model penyelesaian secara menyeluruh untuk menangani cabaran utama yang dihadapi oleh masyarakat (dan manusiawi), setidak-tidaknya untuk mencetuskan kesedaran terhadap masalah tersebut dalam kalangan masyarakat awam. Kesemua program ini adalah terbuka kepada kakitangan dan pelajar serta masyarakat secara umumnya.

 

Memanusiakan Pendidikan

 

Krisis pandemik sekali lagi telah mengketengahkan tentang betapa tidak relevannya pembelajaran masa kini terhadap kehidupan pelajar, and kepada kelangsungan hidup manusiawi. Revolusi Industri 4.0 misalnya yang hangat digembar-gemburkan, turut tidak sunyi daripada dilemanya sendiri (Dzulkifli, 2018) khususnya apabila diukur dengan kriteria WEIRD. Seperti juga revolusi industri yang terdahulu, Revolusi Industri 4.0 membawa kepada model seumpama kilang bagi menghasilkan “modal insan” kepada industri. Tuntasnya, Revolusi Industri 4.0 membuka peluang pekerjaan (atau sebenarnya, “tenaga kerja”) yang menekankan keuntungan dan kebolehpasaran. Tidak dapat tidak, Revolusi Industri 4.0 turut memberi penekanan kepada penggunaan alatan dan cara teknikal-mekanikal untuk membekalkan inovasi teknikal (berbanding dengan aspek sosial). Revolusi Industri 4.0 lebih memfokuskan kepada aktiviti melatih minda supaya terarah kepada membina ekonomi yang lebih baik (inovatif). Tiga tujuan ini amat bergantung kepada pasaran ketika era pra-Covid-19, yang melibatkan 4M, iaitu tenaga kerja (Manpower), minda (Mind), mesin (Machine) dengan dipandu oleh pasaran (Marketplace) untuk memanipulasi pengetahuan menjadi produk/komoditi bagi keuntungan dan peluang perniagaan. Secara tuntasnya, penilaiannya adalah dari segi nombor dan kuantiti yang sering disebut sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI - Key Performance Indicator). Di kilang, KPI digunakan untuk menilai tahap pencapaian  sasaran yang telah ditetapkan oleh organisasi tertentu di mana kakitangan yang terlibat akan melakukan apa jua cara, iaitu yang sah dan tidak sah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh KPI yang bersandarkan nilai wang. 

 

Begitu juga situasinya dengan sesetengah universiti yang mengukur, menyelia dan menilai prestasi serta mengarahkan pembentukan polisi dan penetapan sasaran kerja kakitangan. KPI ini mungkin membawa kesan negatif terhadap tingkah laku kakitangan akademik kerana berupaya mendorong budaya tamak yang berkemungkinan memberi kesan kepada  tingkah laku bermoral. Ahli akademik yang didorong kuat oleh KPI seperti ini cenderung untuk menampilkan usaha yang melampau bagi mengukur prestasi peribadi dan ganjarannya, hingga menyebabkan mereka kurang prihatin kepada tanggungjawab terhadap etika dan sosial. Kepentingan peribadi ini boleh melemahkan norma dan etika dalam kalangan kakitangan universiti serta membawa kepada situasi kehilangan kepercayaan masyarakat. Pendidikan seperti ini diberi jolokan sebagai “pendidikan tanpa roh.” Sheldon dan Abidoye (2018:22) misalnya menyatakan bahawa, “Pendekatan pengajaran secara beramai-ramai umpama kilang atau factory mass teaching method pada era revolusi ketiga telah gagal untuk menangani masalah berterusan berkaitan ketidaksaksamaan dan ketidakadilan.”

 

Petunjuk Prestasi Tidak Ketara

 

Bagi menyeimbangkan KPI, adalah penting untuk melihat kepada aspek lain. Walaupun KPI itu penting, namun petunjuk prestasi tidak ketara (KIP, Key Intangible Performance) juga sama pentingnya untuk melihat kepada perkara yang tidak dapat diukur. Perkara ini menuntut kepada corak pemikiran baharu, pemikiran baharu, dan ekosistem baharu yang mana semua orang akan hidup bersama-sama di dalam dunia yang lebih baik. Oleh itu, aset tidak ketara tidak dapat disentuh, dipegang, dan dilihat. Tidak seperti KPI yang semata-mata bersandarkan kepada nombor, pendapatan dan jumlah, KIP berkisar kepada nilai, kepercayaan dan seumpamanya.  KIP juga berkisar kepada muhibah, paten, tanda dagang, hak cipta, dan perisian komputer. KIP boleh dikatakan sebagai merujuk seorang insan yang membabitkan diri dalam aktiviti yang memanfaatkan bukan sahaja dirinya, tetapi juga kemanusiaan sejagat. Perkara ini menjadikan KIP sebagai suatu idea murni yang membuatkan seseorang menyeimbangkan kerjanya dengan apa yang telah diserahkan kepadanya. Dengan kata lain, KIP menekankan nilai dalaman dan bukan nilai luaran semata-mata, and kedua-dua ini perlu seimbang. Bekerja bersandarkan KIP akan memudahkan seseorang untuk memenuhi sasaran KPI sebagai seorang yang holistik untuk menjadi lebih bijaksana (WISER). Oleh sebab KIP mendorong ke arah usaha intelektual yang lebih tinggi, maka KIP juga akan memupuk rasa bangga untuk menyumbang kepada orang lain supaya orang lain juga boleh mendapat manfaat daripada hasil pencapaian peribadinya.

  

Belajar Untuk Lebih Bistari (WISER)

                                        

Keperluan Pembelajaran Masa Hadapan ialah pendidikan yang mempunyai roh. Pendidikan perlu menyediakan pelajar bukan sahaja untuk kelangsungan hidup individu, tetapi juga untuk kehidupan itu sendiri. Oleh itu, aspek moral, etika, sivik, dan kemahiran emosi di institusi pendidikan sepatutnya bukan sekadar memberi tumpuan kepada kandungan mata pelajaran tetapi seharusnya merangkumi kepetahan mengemukakan pendapat yang bernas dan mengenal pasti tanggungjawab diri yang harus dipenuhi. Maka, keupayaan terhadap keberanian dan integriti, berdaya tahan dan kesungguhan, bertanggungjawab dan berkhidmat kepada orang lain perlu diberi penekanan. Tanpa perkara-perkara ini, pendekatan pendidikan (tinggi) sedia ada boleh menyebabkan ketidakseimbangan bukan sahaja kepada 3P (Profit, Planet, People) iaitu keuntungan, planet, dan manusia, tetapi juga memberi impak negatif kepada 2P, iaitu (Peace, Partnership) atau keamanan dan pemuafakatan.

 

Sehubungan dengan itu, perkara yang perlu dilakukan dengan segera, adalah mengembalikan kesimbangan yang amat diperlukan dalam 5P, iaitu bersandarkan kepada kerangka Pendidikan 2030. Hal Ini akan mendukung kepada Agenda Pembangunan Lestari 2030 untuk menggarapkan kerangka “baharu” kepada pendidikan tinggi bagi membangunkan kolaboratif antara institusi dalam mencapai  Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD- Education for Sustainable Development). Oleh itu, dimensi yang lebih berpusatkan-manusia dan kemanusiaan amat diperlukan untuk membentuk pendidikan pada masa hadapan. Dengan kata lain, WEIRD perlu cepat memberi jalan kepada kerangka yang lebih bestari  atau WISER - Wholesome (berbudi pekerti), Inclusive (inklusif), Sustainable (Lestari), Equitable (saksama) dan Resilient (berdaya tahan). Kerangka ini akan membawa kepada dunia yang lebih berperikemanusiaan dan adil dengan tujuan murni di samping dapat memacu Pendidikan 2030, dengan memfokuskan “Dunia Yang Kita Ingini” serta mengukuhkan lagi Tiang Pendidikan Alaf-21 UNESCO,  iaitu belajar untuk tahu, belajar untuk buat, belajar untuk hidup bersama-sama, belajar untuk jadi, dan belajar untuk kemenjadian dengan rasa tanggungjawab peribadi yang mendalam untuk mencapai matlamat bersama (UNESCO, 2014:93). Sehubungan dengan itu, belajar untuk menjadi memerlukan penelitian semula strategi bagi menyusun semula pengetahuan dan pembelajaran dalam membentuk masa hadapan umat manusia serta planet ini.

 

Seiring dengan itu, terdapat keperluan untuk beralih daripada model 4M kepada model 4H dalam memikul cabaran alaf 21, terutama pada era pasca-pandemik, seperti yang diringkaskan dalam Rajah di bawah.

 

Rajah: Model Pendidikan Pra dan Pasca COVID-19 Sumber: Dzulkifli Abdul Razak, 2020

Beralih daripada Model 4M ke 4H

 

Seruan untuk (1) menggantikan Tenaga kerja Manusia dan pekerjaan dengan nilai kemanusiaan dan simpati, merupakan satu perkara yang diabaikan dalam bidang pendidikan umpama kilang pada masa kini; (2) menggabungkan Minda dan inovasi dengan Hati dan empati untuk memahami dan mengesahkan perasaan orang lain.  Empati, yang amat berkait rapat dengan hati dan amat penting dalam kehidupan kebanyakan manusia, merupakan batu asas bagi perhubungan sihat sesama manusia. Di sinilah pembabitan kemasyarakatan menjadi bermakna apabila pendidikan menerapkan nilai ini sebagai sebahagian daripada aktiviti belajar untuk kemenjadian; dan akhirnya (3) meluaskan Mesin dan teknologi tinggi kepada Cakna dan Keprihatinan yang ditakrifkan sebagai “keupayaan untuk berempati dengan orang lain, memahami keinginan tersirat, dan berinteraksi dengan manusia serta memburu suatu tujuan murni pada setiap hari untuk arah dan makna baharu… “(Pink, 2005: 17). Perkara ini membolehkan sesorang untuk bersikap prihatin dalam perhubungan dengan orang lain dan memberi tindak balas sewajarnya terhadap kesengsaraan mereka. Menurut Mengzi, seseorang yang tiada minda yang dipandu oleh sikap prihatin, maka dia bukan manusia (Van Norden, 2008:46). Mereka yang cakna pula akan membantu orang lain, terutama yang memerlukan, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka.

 

Maka jelaslah, adalah amat perlu untuk mengalihkan penekanan terhadap konsep Pasaran kepada Hidup Berperikemanusiaan, yang membawa maksud meletakkan nilai kemanusiaan dahulu dalam semua interaksi. Ringkasnya, nilai simpati, empati, cakna dan kemanusiaan merupakan atribut utama untuk suatu kehidupan yang sihat dan bermaruah. Nilai-nilai ini secara umumnya tidak terdapat dalam bidang pendidikan pada masa kini. Akan tetapi, nilai-nilai ini hanya berperanan sebagai alat untuk mendapatkan kehidupan yang kukuh dan terjamin dari segi kewangan. Walaupun jaminan kewangan merupakan suatu perkara yang perlu dalam hidup, namun tidak boleh mengatasi apatah lagi menidakkan pertimbangan kemanusiaan. Tujuan akhir pendidikan seharusnya adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi kewangan, intelek dan kerohanian. Oleh itu, adalah perlu untuk membina semula struktur utilitarian dan mekanistik berasaskan kilang dengan struktur yang dibina dengan nilai-nilai simpatik, empati, penyayang, dan berperikemanusiaan. Dengan kata lain, pendidikan berasaskan nilai dengan 4H memainkan peranan penting ke arah perkembangan menyeluruh seseorang.

 

Kepimpinan Berasaskan Nilai

 

Dalam meneruskan agenda Masa Hadapan Pendidikan, kepimpinan memainkan peranan penting. Satu soal selidik global dengan 1,592 responden daripada 112 negara, yang dijalankan pada bulan Julai 2014, sempena Forum Ekonomi Dunia 2014 telah melaporkan bahawa para pemimpin secara amnya, menunjukkan kemewahan peribadi dan ahli keluarga tetapi mereka tidak menabur bakti untuk kesejahteraan sejagat. Kemiskinan nilai kepimpinan diletakkan pada tempat ketujuh dalam sepuluh tren tertinggi berdasarkan kepentingan global. Pemimpin gagal memahami bahawa kesejahteraan sejagat merupakan satu-satunya cara untuk kemakmuran jangka panjang. Pemimpin seharusnya didorong oleh nilai yang sewajarnya supaya sifat kemanusiaan boleh berkembang secara seiringan.  Jika pemimpin tidak mempunyai rasa simpati, empati atau tidak cakna dan tidak dipandu oleh nilai, mereka akan hanya menjaga kepentingan peribadi mereka sahaja, dan tidak didorong oleh sesuatu yang lebih bermakna. Dalam soal selidik yang dijalankan tersebut, responden di bawah umur 40 tahun tidak berpuas hati dengan kerajaan yang tidak memberikan perhatian kepada kepincangan nilai dalam kepimpinan.

 

Sehubungan dengan itu, kesediaan institusi membawa kepada kesediaan organisasi untuk memastikan bahawa komuniti di universiti bersama-sama berkongsi azam untuk melaksanakan perubahan dan yakin dengan keupayaan mereka untuk melakukan perubahan itu. Jika komuniti di universiti berdisiplin dalam pendekatan mereka untuk menyelesaikan masalah dan boleh bekerjasama secara berpasukan serta dapat mengatasi sikap melakukan sesuatu secara terasing,  ini akan memberikan asas yang kukuh dalam menangani masalah global yang lain. Perkara ini akhirnya akan membawa kepada pendidikan yang berupaya memupuk sifat perikemanusiaan yang dicirikan oleh kejujuran intelektual, integriti, rasa rendah diri, dan bekerja keras untuk melahirkan insan yang lebih baik, mengembalikan maruah manusia, serta menzahirkan nilai kemanusiaan. Perkara ini seterusnya akan membawa kepada keharmonian, keamanan, kelestarian, dan keseimbangan.

 

Agak menarik bahawa, pandemik COVID-19 juga telah dapat mengetengahkan kepentingan nilai kesejahteraan dan kualiti kehidupan melalui gaya hidup yang lebih seimbang dan lestari. Pandemik ini juga telah dapat menggandingkan keperluan untuk memastikan keselamatan dan kelangsungan hidup individu, penjarakan dan hubungan, amalan berjimat-cermat dan berhemah serta mengelakkan pembaziran, sikap boros dan kemewahan melampau. Gaya hidup sebegini adalah satu cara “mengimbang tara,” dari segi praktikal supaya lebih ramai orang boleh berkongsi sumber yang terhad. Perkara ini juga merupakan satu cara praktikal “imbang tara” supaya lebih ramai orang boleh mandapat nafkah asas. Jika lebih ramai orang yang dididik untuk mengamalkan gaya hidup sebegini, maka lebih ramai lagi yang boleh berkongsi sumber sedia ada yang terhad ini (Dzulkifli, 2020).


Kesimpulan

 

Meskipun Covid-19 merupakan suatu peringatan untuk bertindak terhadap kejutan dalam sistem pendidikan, pandemik ini juga memberi peluang untuk mencari kaedah baharu dalam menangani krisis pendidikan di samping membawa kepada suatu bentuk penyelesaian yang sebelum ini difikirkan sukar untuk dilakukan. Namun kenyataannya, impak dalam memperbaiki pendidikan tinggi ini tidak berlaku secara seimbang dan telah melebarkan lagi jurang perbezaan serta ketidakadilan. Pendidikan, seharusnya ditawarkan kepada semua orang tanpa mengira lokasi geografi, status sosio-ekonomi, kepercayaan dan seumpamanya.

 

Masa Hadapan Pendidikan mestilah berupaya menggantikan pandemik Covid-19 sebagai pengimbang tara barasaskan impak keseluruhannya. Masa Hadapan Pendidikan melihat kesemua orang sebagai saksama dan tiada jumlah wang atau kekayaan yang akan membezakan manusia berdasarkan satu set prinsip yang ketat tanpa menolak nilai yang perlu untuk diinternalisasikan melalui pendidikan.

 

Rujukan                                   

 

Dzulkifli Abdul Razak, (2018). Fourth Industrial Revolution – The Leadership Dilemma. Nilai Baru: USIM Press

 

Dzulkifli Abdul Razak, Morshidi Sirat & Chang Da Wan, (2019). Falsafah Pendidikan Kebangsaan in ‘W.E.I.R.D.’ world of education. Chang Da Wan, Morshidi Sirat & Dzulkifli Abdul Razak (Eds.), Higher Education in Malaysia – A Critical Reviews of The Past and Present for the Future. Penang/Nilai: USM/USIM Press

 

Dzulkifli Abdul Razak, (2020), Let us learn from Cikgu Covid, New Straits Times, May 13. https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2020/05/592007/let-us-learn-cikgu-covid (Accessed Feb. 24, 2020).

 

Pink, Daniel H, (2005). A Whole New Mind: Moving from the Information Age to the Conceptual Age. New York: Riverhead Books.

 

Seldon, Anthony & Abidoye, Oladimeji (2018). The Fourth Education Revolution: Will Artificial Intelligence Liberate or Infantilise Humanity. Buckingham: The University of Buckingham Press.

 

UNESCO, (2014). Shaping the future we want. UN decade of education for sustainable development (2005-2014). Final report.  http://unesdoc.unesco.org/images/0023 /002301/230171e.pdf. (Accessed Feb. 24, 2020)

 

Van Norden, (2008). Bryan W (trans.), Mengzi: With Selections from Traditional Commentaries. Indianapolis: Hackett Publishing.

 

World Economic Forum, (2014). Top 10 trends of 2014. http://reports.weforum.org/outlook-14/top-ten-trends-category-page/7-a-lack-of-values-in-leadership/ (Accessed Feb. 24, 2020).