Berita

Berita

AWASpada pupuk kesedaran kesejahteraan siber - TPM

AWASpada pupuk kesedaran kesejahteraan siber - TPM

Tarikh : 08 September 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

Oleh Fahmy A Rosli(BH)

GOMBAK: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelancaran buku panduan AWASpada (awas media sosial dan permainan dalam talian) dapat membantu masyarakat menyemai dan memupuk kesedaran serta meningkatkan pemahaman terhadap kesejahteraan siber.

Timbalan Perdana Menteri berkata, buku panduan itu penting sebagai rujukan dalam usaha membentuk warga digital yang saling menghormati.

Katanya, program itu dapat membantu melengkapkan masyarakat dengan pengetahuan ketika menggunakan platform siber seperti media sosial.

“Kita harus bijak dan berusaha melengkapkan diri dengan pengetahuan demi menjaga keselamatan diri, keluarga, harta benda dan persekitaran ketika di dunia siber,” katanya berucap pada Hari Produktiviti Bersama Komuniti dan Pelancaran AWASpada Keselamatan Siber di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

AWASpada adalah inisiatif dianjurkan bersama oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), UIAM, Cybersecurity Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Dr Wan Azizah berkata, buku itu boleh menjadi usaha menyedarkan masyarakat terutama golongan pelajar dan remaja untuk berwaspada terhadap penggunaan media sosial.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri menyarankan semua pihak sama ada agensi awam mahu pun swasta bergabung tenaga dan kepakaran bagi memperkukuh serta meningkatkan pengetahuan orang ramai terhadap isu dan perkembangan dunia digital.

“Kolaborasi pelbagai sektor sebagaimana dalam program ini amat diperlukan.

“Kita mesti bersama-sama mengubah minda masyarakat untuk menjadikan produktiviti sebagai budaya yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Source; https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/09/604572/awaspada-pupuk-kesedaran-kesejahteraan-siber-tpm