Berita

Berita

‘FRONTLINERS’ RISIKOKAN NYAWA DEMI TANGGUNGJAWAB KEPADA NEGARA – RAJA PERMAISURI AGONG

‘FRONTLINERS’ RISIKOKAN NYAWA DEMI TANGGUNGJAWAB KEPADA NEGARA – RAJA PERMAISURI AGONG

Tarikh : 19 March 2021

Dilaporkan Oleh : ISTAC Web

Kategori : News


Share
Raja Permaisuri Agong menyampaikan Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global 2020 kepada petugas barisan hadapan yang diwakili Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di ISTAC UIAM hari ini.

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini menzahirkan penghargaan tertinggi buat para petugas barisan hadapan.

Titah baginda, mereka telah banyak berkorban dan menyumbang dalam perang terhadap virus COVID-19 yang kini membelenggu dunia.

Menurut Raja Permaisuri Agong, ketika COVID-19 memberi tekanan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk, namun petugas barisan hadapan tetap mengorbankan masa dan tenaga untuk mendepani dan melawan jangkitan itu.

"Penghargaan tertinggi buat para frontliners di atas sumbangan dan pengorbanan yang diberikan dan sanggup menggalas tanggungjawab tanpa mengenal erti kepayahan dan risiko ke atas kesihatan mereka."

Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah ibni Almarhum Sultan Iskandar
Raja Permaisuri Agong / Ketua Perlembagaan UIAM

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada masyarakat yang menjadi sukarelawan dalam membantu frontliners.

Tunku Hajah Azizah yang juga Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertitah demikian sewaktu Majlis Penganugerahan Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global 2020 kepada petugas barisan hadapan.

Hadir menerima anugerah tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, yang menerimanya bagi pihak petugas barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan).

Acara berlangsung di ISTAC UIAM Kampus Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Nooraini Ahmad, Presiden UIAM, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. – Alhijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi