Berita

Berita

Graduan perlu berintegriti, istiqamah cari reda Allah - Tunku Azizah

Graduan perlu berintegriti, istiqamah cari reda Allah - Tunku Azizah

Tarikh : 23 November 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share


Oleh Syalikha Sazili
syalikha@bh.com.my

GOMBAK: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, graduan perlu menjadi duta integrasi, Islamisasi, pengantarabangsaan dan cemerlang dalam mencari keredaan Allah.

Baginda bertitah, umat Islam berdepan pelbagai cabaran termasuk sosial, budaya, politik, ekonomi, kerohanian dan ketamadunan, justeru universiti perlu membekalkan ilmu kepada graduan menghadapi cabaran berkenaan, selain mereka perlu menggunakan kebijaksanaan masing-masing.

“Saya doakan anda istiqamah dan teguh berintergriti dalam membuat pilihan serta mempunyai keberanian mengajak masyarakat bersama anda.

“Gunakan ilmu yang dibekalkan universiti untuk menjadikan dunia ini lebih baik. Syarat untuk menjadi ummah menuntut anda menjadi lebih bijaksana, mempunyai kepercayaan teguh, keberanian dan kegigihan,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-35, di sini, hari ini.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM turut berbangga dengan pencapaian universiti itu yang menjadi peneraju ummah bagi masa depan yang baik, malah lebih cemerlang menerusi visi baharu iaitu ‘Visi 2077’.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Presiden UIAM, Dr Mohd Daud Bakar dan Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

Pada majlis itu, Tunku Azizah turut menyampaikan anugerah utama termasuk Anugerah Pelajaran Diraja; Anugerah Presiden; Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan; Anugerah BUDI; Anugerah Rektor; Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum (Amru Ibn Al-Jamuh) dan Anugerah Pencapaian Ibn Ummi Maktum (Akademik).

Mendahului senarai penerima ialah Pengurus Besar Majlis Kanser Negara Nasional (MAKNA), Farahida Mohd Farid yang menerima Anugerah Merit Ibnu Khaldun.

Turut bergradusi pada sesi konvokesyen ini ialah bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang juga graduan Sarjana Sains Kemanusiaan (Sains Politik).

Tahun ini, seramai 5,445 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-35 yang dijadualkan berlangsung sebanyak lapan sidang selama empat hari bermula semalam hingga Selasa ini.

Seramai 4,317 graduan akan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda dan 1,128 graduan akan menerima skrol bagi peringkat sarjana serta doktor falsafah dalam bidang pengajian masing-masing dari 17 Kulliyyah (fakulti).

Sementara itu, gelagat Tunku Azizah menyentuh perut graduan UIAM, turut mencuri tumpuan hadirin.

Baginda yang terkenal dengan sikap mesra rakyat, dilihat menyentuh perut beberapa graduan wanita yang mengandung, selain turut bertanya khabar.

Selain itu, ketika menyampaikan Anugerah Ibn Maktum iaitu kategori bagi orang kelainan Upaya (OKU), baginda sendiri ‘menghadap’ graduan yang naik ke atas pentas dengan keadaan bertongkat.

Baginda yang sebelum itu berdiri di tempatnya, berlari anak bagi menyampaikan anugerah berkenaan.

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir ke Majlis Konvokesyen UIAM Kali Ke-35 di UIAM Kampus Gombak. - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli