Berita

Berita

Memperkasa Pendidikan Tinggi Berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Memperkasa Pendidikan Tinggi Berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Tarikh : 20 November 2018

Dilaporkan Oleh : dsh

Kategori : News


Share

GOMBAK 15 Nov. 2018.

Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah  menganjurkan SEMINAR PENDIDIKAN BERASASKAN NILAI dengan tema MEMPERKASA PENDIDIKAN TINGGI BERTERASKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN. Seminar ini berlangsung selama dua hari bermula 15hb November bertempat di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan UIAM.

 

Seminar ini adalah hasil cetusan idea Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, bertujuan untuk menilai fungsi dan pencapaian Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam memberi arah Pendidikan di kedua-dua peringkat asas  dan tinggi di Malaysia dengan harapan agar dapat memugarkan kembali fungsi intelek pendidikan dan peranannya sebagai hati nurani dan akal budi insan. 

 

Seminar ini juga diharap dapat meletakkan kembali fungsi FPK sebagai asas utama bagi masa depan pendidikan secara berterusan, menyeluruh dan bersepadu sehingga ke peringkat pendidikan tinggi.

 

Seramai tujuh orang tokoh Pendidikan negara akan membentangkan kertas kerja masing-masing, antaranya mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Noordin, Prof Datuk Dr Sufean Hussin, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Prof. Dr. Rosnani Hashim, Datuk Dr. Amin Senin, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian serta Rektor UIAM, iaitu Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abd Razak.

 

Selain itu, tiga orang tokoh pendidikan daripada luar negara juga turut dijemput  untuk berkongsi pandangan iaitu Prof. Dr. Budd Hall daripada Universiti of Victoria, Kanada, Dr. Hilligje van’t Land yang merupakan Setiausaha Agung International Association of Universities (IAU-AIU) daripada Perancis dan Dr. Betsan Martin,  Presiden Alliance for Responsable Societies

Alliance for Responsible and Sustainable Societies New Zealand.

 

Majlis perasminan seminar telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan yang juga merupakan Presiden UIAM, YB Dr. Maszlee Malik di Pusat Kebudayaan Antarabangsa, UIAM hari ini. Beliau turut melancarkan Dasar Inklusif Golongan Kurang Upaya UIAM dan seterusnya melancarkan tiga belas buah buku yang diterbitkan oleh IIUM Press.

 

Dalam ucapan beliau, YB Dr. Maszlee Malik telah menyeru warga pendidik di seluruh Malaysia untuk memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam menghadapi pelbagai perubahan dan cabaran dalam kehidupan serta pendidikan masa kini. Penemuan baru dalam bidang sains dan teknologi bagi membentuk kehidupan yang lebih baik seharusnya berteraskan nilai-nilai murni dan matlamat kehidupan sebenar seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Kita ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia supaya dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.  Dalam konteks masyarakat majmuk negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama, FPK perlu diperhebatkan dari segi mencapai kesejahteraan bagi SEMUA”, tegas beliau lagi. 

Dianggarkan seramai 600 orang peserta telah menghadiri seminar ini, terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai dan Pendidik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, IPTA, IPTS, dan sekolah.