Berita

Berita

UIAM JALIN KERJASAMA PINTAR DENGAN STEI TAZKIA INDONESIA.

UIAM JALIN KERJASAMA PINTAR DENGAN STEI TAZKIA INDONESIA.

Tarikh : 11 February 2019

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Sekolah Tinggi Ekonomi Islam (STEI) Tazkia, Indonesia yang berlangsung di Pejabat Rektor UIAM Kampus Gombak baru-baru ini.

Usaha sama yang dijalinkan ini termasuk kerjasama dari segi pertukaran kakitangan dan pelajar, penerbitan jurnal dan artikel, kerjasama dalam bidang penyelidikan kewangan dan ekonomi, penganjuran seminar serta persidangan bersama.

Ia juga turut meliputi perkongsian bersepadu dan latihan amali serta kursus pendek untuk meningkatkan kurikulum akademik, program kerjasama antara Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam dan Sarjana Ekonomi Islam Tazkia dan bidang kerjasama lain yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Pada majlis tersebut, UIAM diwakili oleh Rektor, Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, dan STEI Tazkia diwakili oleh Rektornya, Dr. Murniati Mukhlisin.

Ia turut disaksikan oleh Timbalan Rektor UIAM (Pengantarabangsaan dan Jaringan Global), Prof. Dr. Nor Faridah Abdul Manaf dan STEI Tazkia, Pengarah Pengajian Pascasiswazah, Dr. Mukhamad Yasid.

Menurut Rektor UIAM, dengan termeterainya kerjasama ini, ia akan memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua universiti.

"UIAM boleh mempelajari sesuatu dari STEI ini kerana mereka memberi tumpuan untuk membawa ekonomi Islam menjadi amalan dan dalam masa yang sama UIAM juga mempunyai Institut Antarabangsa Kewangan dan Perbankan Islam." tambahnya.

Sementara itu, Rektor STEI Tazkia, menyatakan mereka memilih UIAM adalah kerana ia sebuah institusi yang besar dan mempunyai pengaruh di peringkat antarabangsa dan ia selaras dengan visi dan misi STEI Tazkia terutama dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Beliau juga berharap dengan kerjasama ini, STEI Tazkia dan UIAM dapat mempunyai lebih banyak kerjasama dalam jangka masa kehadapan dalam bidang penyelidikan ekonomi dan kewangan Islam.

"Melalui perjanjian ini juga kita akan dapat melihat kerjasama antara UIAM melalui kursus Master dalam Kewangan Islam UIAM dan STEI Tazkia dalam bidang Master Kewangan Islam sebagai satu perkongsian ilmu pengetahuan".Ujar beliau.

Sekolah Tinggi Ekonomi Islam Tazkia adalah merupakan sebuah kolej universiti di Indonesia dan universiti ini memberi tumpuan kepada pengintegrasian pengetahuan khususnya Ekonomi Islam dan bidang-bidang lain.