الأخبار

الأخبار

PENSYARAH UIAM JULANG NAMA NEGARA

PENSYARAH UIAM JULANG NAMA NEGARA

التاريخ : 21 April 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

KUALA LUMPUR - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Abdul Khair Jalil, Qari dari Malaysia dinobatkan sebagai johan kategori tilawah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Abdul Khair Jalil memperoleh 93.02 markah, sekaligus membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Sementara qari dari Algeria, Yassine Bekouassa mendapat tempat kedua, manakala tempat ketiga, Ilyas Lamhayahoui (Maghribi).

Hadiah pemenang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut berkenan untuk berangkat pada majlis tersebut bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Majlis berlangsung selama lima hari bermula 15 April lalu itu melibatkan 41 buah negara bagi menyertai kategori tilawah dan hafazan al-Quran.

Antara keistimewaan dan keunikan majlis tilawah dan menghafaz al-quran peringkat antarabangsa tahun ini ialah pemilihan tempat iaitu KLCC yang menjadi simbol ikonik Malaysia.

Sebelum ini, Abdul Khair Jalil, 40, tenaga pengajar di Bahagian Tilawah, Pusat Pembangunan Akademik Pra-Universiti dan Bahasa(CELPAD) UIAM dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440H/ 2019M yang dianjurkan pada Mac lalu di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Sekali gus terpilih untuk mewakili negara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada kali ini

-Pejabat Komunikasi,Advokasi dan Promosi UIAM-