Berita

Berita

CAP terima anugerah khas dari UIAM

CAP terima anugerah khas dari UIAM

Tarikh : 11 November 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share
PRESIDEN UIAM, Dr Maszlee Malik menyampaikan Anugerah Merit Ibnu Khaldun 2018 kepada Presiden CAP, SM Mohamed Idris pada majlis konvokesyen yang diadakan di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak.

GOMBAK: Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-34 hari ini, melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali memperkenalkan Anugerah Merit Ibnu Khaldun 2018 yang diterima Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Penganugerahan itu disampaikan Menteri Pendidikan yang juga Presiden UIAM, Dr Maszlee Malik kepada Presiden CAP, SM Mohamed Idris.

Anugerah itu diperkenalkan sebagai penghargaan ke atas sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit menjalankan kempen kesedaran kepenggunaan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk kualiti makanan, barangan, produk kewangan serta hak.

Sementara itu, Mohamed berkata, pengiktirafan itu memberi makna cukup besar kerana menggambarkan komitmen persatuan membantu menyelesaikan permasalahan diadu pengguna sejak penubuhannya pada 1970.

Katanya, selama 48 tahun beroperasi, CAP sentiasa berusaha memperjuangkan isu kepenggunaan dan mendidik masyarakat untuk bijak memahami aspek berkaitan.

"Melalui anugerah ini, CAP dan UIAM akan bekerjasama untuk menggalakkan perkongsian ilmu bagi kepentinga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis konvokesyen itu yang diadakan di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak, di sini.

Yang turut hadir Rektor UIAM, Profesor Emeritus, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Acara konvokesyen selama empat hari bermula hari ini hingga 13 November itu, menyaksikan seramai 5,413 graduan dari 16 fakulti diraikan, masing-masing 4,449 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 964 graduan Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Pada acara itu, tiga graduan orang kelainan upaya (OKU) turut menerima anugerah khas, iaitu graduan Undang-Undang, Atiqah Othman yang menerima Anugerah Khas Ibnu Ummi Maktum di atas kejayaannya memperoleh keputusan akademik cemerlang dengan mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.8.

Dua graduan lain adalah graduan Undang-Undang, Nur Amalina Kamsani (Anugerah Khas Amru Ibnu Al-Jamuh) dan graduan Sains Kemanusiaan, Azzrulkhan Hasrullah Matsah (Anugerah Khas Pencapaian Luar Biasa Kokurikulum).

Pencapaian itu diterima mereka di atas semangat dan kejayaan ditunjukkan sepanjang pengajian biarpun Atiqah mengalami kesukaran melihat, manakala Nur Amalina mengalami masalah tulang dan Azzrulkhan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Read more; https://www.bharian.com.my/ber...

Source Berita Harian