Berita

Berita

Malaysia Wujud Portal Kawal Penyebaran Radikalisme, Ekstremisme

Malaysia Wujud Portal Kawal Penyebaran Radikalisme, Ekstremisme

Tarikh : 14 March 2022

Dilaporkan Oleh : ISTAC Web

Kategori : News


Share

DITERBITKAN PADA 04 MAR 2022 7:43PM

Dr Mohd Daud Bakar (kiri) dan Ganeson Sivagurunathan pada Majlis Pelancaran Portal mycveguide.com di ISTAC, UIAM, hari ini. - Gambar Sadiq Asyraf

KUALA LUMPUR – Malaysia komited memastikan maklumat berkaitan radikalisme dan ekstremisme disampaikan dengan cara yang tepat dalam usaha mengawal penyebaran fahaman negatif berkenaan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi pendekatan tertentu, termasuk mewujudkan portal Mycveguide.com dengan kerjasama beberapa institusi, bertujuan memastikan rakyat didedahkan dengan impak keganasan radikalisme dan ekstremisme.

Katanya, pihak kementerian itu sudah bekerjasama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur serta melancarkan Portal Mycveguide.com di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Portal mycveguide.com adalah portal yang memberikan maklumat lanjut berkaitan pencegahan dan menentang keganasan ekstremis di Malaysia, rantau ini dan global secara keseluruhan.

“Pelbagai program turut dirancang dilaksanakan menerusi SEARCCT, antaranya syarahan, seminar dan taklimat bagi memastikan generasi muda mendapat kesedaran memandangkan golongan tersebut aktif di media sosial,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Datuk Ganeson Sivagurunathan pada Majlis Pelancaran Portal mycveguide.com di ISTAC, UIAM hari ini.

Turut hadir, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D Mcfeeters; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya dan Presiden UIAM, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.


Brian berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk menjadi rakan kongsi yang aktif bersama Malaysia berhubung isu keganasan berkenaan.

“Pihak kami juga komited dan memberikan sokongan sepenuhnya untuk membangunkan strategi serta inisiatif dalam menangani isu keganasan radikalisme dan ekstremisme ini,” katanya.


Menurut Dr Chamil Wariya, portal mycveguide.com akan menjadi panduan kepada pihak berkepentingan, wartawan, pengguna media sosial, golongan pendidik dan pembuat dasar untuk melaporkan atau menulis mengenai keganasan ekstremisme (VE).

“Kerjasama portal web itu dengan MPI juga membolehkan pengamal media melaporkan atau menulis secara bertanggungjawab mengenai keganasan ekstremis,” ujarnya.


Menarik perhatian, Dr Mohd Daud Bakar pula melahirkan perasaan teruja apabila berpeluang untuk bekerjasama membangunkan portal mycveguide.com.

“Sebelum ini, pihak kami ada mengadakan pelbagai program dan seminar mengenai keganasan ektremis bagi memastikan masyarakat faham apakah yang dimaksudkan dengan radikalisme serta ekstremisme. 

“Jadi saya sangat berharap menerusi portal ini nanti, orang ramai dapat mengakses maklumat tepat dan sahih sebelum menyebarkan sesuatu kejadian,” katanya. 

Acara pelancaran itu turut menyaksikan Kempen Melawan dan Mencegah Ekstremisme Kebangsaan (CVE/PVE) membabitkan tiga dokomentari, lima laporan khas daripada pelbagai organisasi berita serta dua video Youtube diterbitkan Pengasas Fat Bidin Media, Zan Azlee. - Getaran, 4 Mac 2022.