Berita

Berita

UIAM PAGOH RANGKUL TEMPAT KEEMPAT PERTANDINGAN SAHIBBA

UIAM PAGOH RANGKUL TEMPAT KEEMPAT PERTANDINGAN SAHIBBA

Tarikh : 08 May 2019

Dilaporkan Oleh : Mohamad Hazim Bin Selamat

Kategori : News


Share

Oleh: Mohamad Suhaizi Suhaimi

Sebuah pertandingan Sahibba terbuka peringkat kebangsaan bagi Piala Menteri Besar Kedah 2019 telah menyaksikan pasukan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh berjaya meraih tempat keempat daripada 26 buah pasukan secara keseluruhan. Pertandingan yang diadakan di Dewan Munsyi Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH), Sungai Petani, Kedah pada 10 April 2019 bertujuan menguji kemahiran berfikir para peserta untuk membina kosa kata dalam bahasa Melayu yang tepat dan betul seperti yang terkandung dalam Kamus Dewan.

Sehubungan itu, pasukan daripada IPGK Pulau Pinang (B) berjaya dinobatkan sebagai Johan keseluruhan pertandingan dan menjadikan IPGK Darul Aman sebagai Naib Johan manakala IPGK Pulau Pinang (A) meraih tempat ketiga. Pasukan dari UIAM Pagoh yang terdiri daripada pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu Komunikasi Antarabangsa iaitu Umar Mustaqim Md Heshamudin, Mohd Shahdan Sadin, Siti Hajar Japar dan Lisa Licson membawa pulang wang tunai RM250 berserta satu set permainan Sahibba. Selain itu, Umar Mustaqim Md Heshamudin dinobatkan sebagai 10 peserta terbaik apabila menduduki tempat ke-9 keseluruhan daripada 104 orang peserta serta membawa pulang satu set permainan Sahibba. Pasukan UIAM Pagoh juga berjaya mengumpulkan jumlah mata sebanyak 3472 hasil daripada tiga pusingan pertandingan.

Umar Mustaqim yang pertama kali menyertai pertandingan Sahibba melahirkan rasa terkejut dan gembira apabila memperoleh gelaran 10 peserta terbaik pertandingan. Beliau menyatakan bahawa usaha keras ahli kumpulan membuahkan hasil walaupun waktu dan masa yang agak terhad terpaksa dilalui sepanjang latihan dijalankan.

“Pada awalnya, kami merasakan untuk memperoleh tempat dalam pertandingan ini agak mustahil. Dengan pengalaman yang kurang serta latihan yang setiap kali tidak mampu untuk mengumpulkan semua ahli pasukan, sedikit membuatkan kami berasa agak gemuruh dan tertekan. Namun, dengan kejayaan ini telah membuktikan bahawa segala pengorbanan dan penat lelah yang dilalui oleh ahli pasukan sememangnya berbaloi. Semoga anugerah ini menjadi pencetus kepada kejayaan-kejayaan yang akan datang khusus buat warga UIAM Pagoh,” ujarnya. Pertandingan Sahibba ini menampilkan kolaborasi yang cemerlang antara pihak IPGKSAH dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara. Majlis penutupan rasmi pula disempurnakan oleh wakil Rektor IPGM iaitu Yang Mulia Tengku Adli bin Raja Omar. Oleh yang demikian, diharapkan agar anjuran pertandingan ini dapat diteruskan supaya usaha memartabatkan bahasa Melayu dapat direalisasikan selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi kebangsaan Malaysia.