International Islamic University Malaysia

10,000 botol bekas vaksin jadi Jalur Gemilang

September 15, 2021 @ 12:15pm

Kakitangan Jabatan Farmasi, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM) menyusun 10,000 botol bekas vaksin COVID-19 bagi menghasilkan replika Jalur Gemilang. - Foto NSTP/Mohf Rafi Mamat
Kakitangan Jabatan Farmasi, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM) menyusun 10,000 botol bekas vaksin COVID-19 bagi menghasilkan replika Jalur Gemilang. – Foto NSTP/Mohf Rafi Mamat

Oleh Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Sebanyak 10,000 botol bekas vaksin COVID-19 dijadikan replika Jalur Gemilang bersaiz 1.22 meter lebar dan 2.4 meter panjang bersempena sambutan Hari Malaysia esok.

Usaha itu dilakukan sekumpulan 30 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Jabatan Farmasi, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @IIUM (SASMEC @IIUM) sejak tiga hari lalu.DISYORKAN UNTUK ANDA

Ketua Pegawai Farmasi SASMEC @IIUM, Che Rokiah Ismail, berkata pihaknya menggunakan 10,000 botol bekas vaksin Pfizer-BionTech dan Sinovac yang digunakan pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sejak 1 Mac lalu.

Beliau berkata, pihaknya bertanggungjawab mengendalikan bekalan vaksin di PPV SASMEC @IIUM Kuantan dan sehingga kini pusat itu sudah menggunakan kira-kira 10,000 botol bekas vaksin yang diberikan kepada lebih 30,000 warga di daerah ini.

“Idea menghasilkan replika Jalur Gemilang bersaiz besar ini tercetus selepas melihat banyak botol bekas vaksin yang disimpan rapi seterusnya bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia esok.

“Kami mengambil keputusan untuk menyimpan semua botol bekas vaksin yang digunakan kerana nilai sentimental yang tinggi kepada petugas, terutama Jabatan Farmasi yang diberi tanggungjawab mengendalikan bekalan vaksin di PPV SASMEC @IIUM.

“Di PPV lain mereka mungkin melupuskan botol bekas vaksin ini, tetapi tidak bagi kami yang menyimpannya dan mungkin suatu hari nanti boleh dijadikan cenderamata,” katanya di sini.

Katanya, pihaknya menyediakan modal sebanyak RM3,000 untuk membeli cat air warna putih, merah, biru dan kuning untuk membentuk Jalur Gemilang yang disusun di atas meja, sebelum dipasang bingkai dan seterusnya digantung pada dinding bangunan hospital.

Sementara itu, Pegawai Farmasi SASMEC @IIUM, Fatin Azzyati Pakururazi, berkata pihaknya mengambil tempoh kira-kira 112 jam untuk menghasilkan replika Jalur Gemilang secara berperingkat.

“Selain kakitangan Jabatan Farmasi, turut terbabit pensyarah Fakulti Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

Kami mengambil tempoh beberapa jam setiap hari untuk menyiapkannya selepas waktu bertugas.

“Kami bercadang untuk menjadikan replika ini dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai pusat perubatan yang pertama di negara ini menghasilkan replika Jalur Gemilang menggunakan botol bekas vaksin COVID-19,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/864334/10000-botol-bekas-vaksin-jadi-jalur-gemilang

Generated by Feedzy Skip to content