International Islamic University Malaysia

‘Lega dapat pulang ke kampus’

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendaftar masuk setelah Kerajaan membenarkan pengajian secara fizikal. - Foto FATHIL ASRI.
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendaftar masuk setelah Kerajaan membenarkan pengajian secara fizikal. – Foto FATHIL ASRI.

GOMBAK: Lega dan gembira. Itu perasaan yang dikongsi beberapa pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) setelah dibenarkan untuk kembali belajar secara bersemuka di kampus berkenaan.

Pelajar tahun keempat ijazah jurusan Agama, Fiqh dan Usul Fiqh, Nurhafizah Miszairi, 22, berkata sekembalinya ke kampus, beliau berharap dengan kelonggaran itu dapat membantunya aspek pembelajaran yang sebelum ini sedikit ganggu kerana berdepan masalah untuk belajar secara dalam talian.

Katanya, kekangan kemudahan seperti akses internet selalu mengganggunya lebih-lebih lagi ketika hujan lebat.

“Saya sangat gembira bila akhir tahun dapat masuk ke kampus semula, jumpa kawan dan pensyarah. Sedihlah kalau tak dapat kembali ke kampus dan perlu belajar secara dalam talian.

“Alhamdulillah sempat juga masuk ke kampus. Ibu bapa pun tiada masalah kerana saya boleh fokus dalam pengajian, buat perbincangan secara berkumpulan. Di kampus juga ada kemudahan, bantuan wifi dan pembelajaran pun lebih terjamin.

“Kalau di rumah banyak komitmen dan kekangan. Antaranya saya ada adik-beradik yang sangat ramai. Jadi sukar untuk saya beri tumpuan lebih-lebih lagi kalau hujan, habis terputus internet,” katanya yang berasal dari Gombak, Selangor.

Berikutan penularan wabak yang masih belum menunjukkan tanda akan hilang, pelajar semester pertama ijazah jurusan Kejuteraan Mekatronik, Muhd Syakir Shabudin, 19, berkata beliau selalu diingatkan oleh ibu bapanya untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada di dalam mahupun luar kampus.

Berasal dari Sungai Petani, Kedah, katanya, meskipun dapat berkumpul ramai-ramai dengan berjumpa dengan rakan, namun perlu sentiasa peka sehingga tidak mengabaikan SOP yang ditetapkan.

“Ibu bapa mesti bimbang bila anak-anak duduk dengan kawan-kawan sebab mereka tak tahu keadaan macam mana. Ibu bapa pun selalu beri nasihat supaya sentiasa menjaga SOP. Jangan terlalu sosial dan betulkan niat datang ke universiti,” katanya

Pelajar tahun keempat Ijazah Undang-Undang, Izyan Fareesyah Ab Rashid, 23, berpuas hati dengan perjalanan pendaftaran yang dilakukan pihak universiti bermula dari pintu masuk sehingga pendaftaran kolej kediaman.

Beliau yang berasal dari Machang, Kelantan juga berharap prestasi akademiknya akan meningkatkan susulan kelonggaran diberikan dengan membenarkan pelajar kembali ke kampus untuk menghadiri pembelajaran secara bersemuka.

“Bukan apa, apabila di rumah…saya menghadapi kekangan berkaitan kesalinghubungan internet dan elektrik di rumah terputus bekalan.

“Bila balik ke kampus, kemudahan tersedia baik seperti wifi yang disediakan pihak universiti. Prasarana seperti itu boleh melancarkan lagi pembelajaran kami,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/876469/lega-dapat-pulang-ke-kampus

Generated by Feedzy Skip to content