International Islamic University Malaysia

Memanusiawi-Kepemimpinan

UIAM BERHUJAH oleh Dzulkifli Abdul Razak

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi menganjurkan satu webinar berjudul Memanusiawi Kepemimpinan, minggu ini. Tujuan utamanya untuk meletakkan kepemimpinan sesuai pada tempat lebih wajar selepas melihat apa yang berlaku semasa pandemik Covid-19.

Umumnya kepemimpinan agak kucar-kacir dan tidak menentu. Ramai yang hilang punca kerana banyak model kepemimpinan yang ada tidak menepati kerangka serangan pandemik yang dahsyat bentuknya. Apatah lagi ia melibatkan ‘musuh’ serba baharu dan tidak pernah dikenali sebelum ini.

Jelas, tiada sebarang ‘peluru’ yang boleh digunakan untuk membunuh atau membuntutkan serangan bertubi-tubi. Oleh itu, kita terpaksa mengenakan strategi pertahanan lebih daripada serangan. Sudah tentu bukan sesuatu yang mudah.

Apa yang jelas, strategi pertahanan ini akan hanya berkesan jika susunan rapi melewati semua bentuk sempadan manusiawi seluruh dunia terbina. Apatah lagi virus berkenaan tidak langsung mengenali sebarang sempadan yang diadaadakan oleh manusia demi kepentingan sempit mereka.

Baik berbentuk kaum, agama, budaya mahupun fahaman politik, keturunan, geopolitik dan apa sekalipun. Asalkan sahaja bergelar manusia, mereka akan disasar seadanya.

Dalam pada itupun masih ada yang tidak difahami dengan tepat apabila istilah ‘penjarakan sosial’ digunakan pada mulanya sebagai langkah berjaga-jaga dan bukan ‘penjarakan fizikal.’ Penjarakan sosial membawa maksud hubungan batiniah antara manusia akan turut terputus. Dan terus melemahkan pertahanan antara mereka.

Tidak cukup itu, ada pula ura-ura mendakwa virus tersebut boleh dibunuh dengan meminum air panas! Malah Presiden Donald Trump mengutarakan pelbagai bahan kimia termasuk pencuci lantai serta ubat-ubatan haiwan sedia ada misalnya untuk membanteras Covid-19. Begitu sekali kemelut dialami dunia.

Ini mampu menggugat kepemimpinan yang mirip sandaran populariti atas kepentingan politik sematamata. Kepedulian manusiawi tidak langsung dihiraukan asalkan kepentingan diri tercapai walau ia menyebabkan banyak nyawa terkorban dan disia-siakan.

Ini berlaku lebih teruk lagi di mana kehidupan lebih terbuka kerana kurang persediaan serta tidak berpendidikan mendalam. Maka timbullah isu-isu manusiawi berkaitan hak asasi individu ataupun kelompok tertentu.

Ia dapat dilihat di negaranegara Barat yang amat terbuka sifatnya untuk memilih dan bertindak. Maka ramai pula menunjuk perasaan besar-besaran dan enggan mematuhi langkah pertahanan yang diperkenalkan melalui prosedur operasi standard.

Begitu juga kumpulan tertentu yang mempunyai angan-angan politik atau ekonomi membelakangi kehidupan manusiawi, apalagi merentasi rintangan ideologi melampau. Sebagai contoh, kumpulan berkulit hitam terus teraniaya hari demi hari sehingga mencetuskan slogan Black Lives Matter yang berkesudahan dengan kes penganiayaan terang-terangan untuk mendiang George Floyd.

TAMAK HALOBA
Menggaris kesemua ini adalah sifat tamak haloba yang menghantui banyak kepemimpinan seluruh dunia. Ini terbukti apabila vaksin Covid-19 mula dicipta oleh beberapa syarikat dan negara maju di Barat khususnya.

Walaupun vaksin pada awalnya dipersetujui sebagai langkah pertahanan ampuh sejagat tanpa mengira apa-apa batasan seantero, namun ini tinggaljanji belaka. Sebaliknya yang terjadi.

Syarikat-syarikat vaksin berkenaan disokong kuat oleh negara serta kumpulan politik tertentu. Hatta, bermulalah perlumbaan sengit memperagakan jenama vaksin tertentu dan serentak menyekat yang lain berasaskan kepentingan sempit.

Ini dikata sebagai nasionalisme vaksin, dan aparteid vaksin atas dasar penindasan. Selain itu, ada pula kerajaan yang membolot berlebihan vaksin berbanding keperluan warga masing-masing. Kadangkala dua atau tiga kali ganda lebih daripada dikehendaki.

Jelas ini menyebabkan begitu ramai rakyat negara lain tidak mendapat bekalan vaksin mereka. Sedangkan dunia maju mula menyuntik begitu ramai warganya. Walhal mereka didunia membangun masih belum pun mula program penyuntikan.

Ertinya, isu manusiawi terus diketepikan dengan zalim sekali. Yakni kepemimpinan yang tidak kurang zalimnya berlaku antara pemimpin yang kononnya dikatakan bertamadun. Semua berpunca daripada rasa tamak haloba untuk mengekalkan tampuk kuasa dengan apa cara jua pun dalam percaturan politik masing-masing.

Oleh itu, ia bukan sesuatu yang baharu terdapat pada kepemimpinan sejagat. Hanya kali ini seluruh dunia terlibat serentak dengan jutaan yang mati dan kelalaian pemimpin dan kepemimpinannya menjadi begitu nyata sekali. Tiada tempat untuk tipu helah lagi. Semua terdedah begitu nyata di mana dunia. Tidak dapat tidak, kesemua ini wajar dipugar semula jika manusia ingin mempertahankan keberadaannya di muka bumi ini. Covid-19 hanyalah isyarat mutakhir. Sebelum itu sudah banyak berlaku tetapi tidak diendahkan.

Pencemaran udara besarbesaran sejak 300 tahun lalu adalah yang paling nyata. Dan sekarang bertukar menjadi pemanasan global dengan suhu muka bumi melonjak tertinggi sejak ratusan tahun lamanya.

Dinihari ia bertukar lagi menjadi krisis iklim sebagai satu faktor pemusnah nyawa haiwan serta tumbuhan dan alam sekitar. Semuanya sah akibat tangan manusia durjana. Tiada yang lain melainkan berkaitan kedurjanaan kepemimpinan jua.

Akibat daripada itu, banyak haiwan pupus sama sekali dari muka bumi ini buat selamalamanya. Proses ini sedang berulang semula dalam skala lebih teruk dari dahulu.

Bermaksud, bentuk kepemimpinan tidak insaf atau berubah. Sehinggakan anak muda terkenal seperti Greta Thunberg dari Sweden berani mencabar dan menegur ketua-ketua negara di persada dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana keengganan berubah dalam kadar segera. Jutaan pengikutnya keluar menunjukkan keseriusan mereka sewaktu Persidangan Perubahan Iklim (COP26) di Glasgow, baru-baru ini.

Pendek kata, masa terlalu suntuk untuk berbalah tentang isu-isu kecil dan remeh sedang kepupusan nyawa akan terus meningkat selagi kita masih di takuk kepemimpinan usang. Kini berlaku keganasan atau terorisme vaksin apabila negara tertentu dapat ditundukkan oleh kuasa pembikin vaksin sejagat.

Bukti bertambah nyata, sifat tamak haloba terus meluap-luap tiada henti. Hanya masa menentukannya di mana akhirnya. Lagi lama kepemimpinan yang ada bertangguh, lagi parah pulalah padah manusiawi.

Kita tiada pilihan lagi. Sama ada memanusiawi’ kepemimpinan agar nilai serta maruah kemanusiaan dapat disanjung semula, ataupun pupus bagaikan bangkai tidak berguna.

PROFESOR Emeritus Tan Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Generated by Feedzy Skip to content