Olah kurikulum pastikan relevan ilmu

CYBERJAYA: Insitusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu memanfaatkan fleksibiliti yang diberikan kerajaan dalam usaha mencapai kesejahteraan yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata antara fleksibiliti itu termasuk mengolah kurikulum bagi memastikan relevan ilmu dalam sesuatu bidang pengajian.

IPT perlu kreatif dalam menawarkan sesuatu program akademik supaya graduan yang bakal dilahirkan memiliki kriteria global seperti yang diperlukan dalam pasaran kerja sekarang.

MQA memang menyediakan platform fleksibel untuk semua IPT tempatan memasukkan agenda yang dirasakan sesuai serta selari dengan keperluan semasa dalam bidang pengajian tinggi.

“Dalam menawarkan sesuatu program akademik, IPT perlu memenuhi tujuh aspek kualiti berdasarkan Kod Amalan Akreditasi Program yang ditetapkan MQA, namun cara pelaksanaannya bergantung pada kebijaksanaan itu IPT sendiri.

“Fleksibiliti yang diberikan inilah yang perlu digunakan IPT dalam menyampaikan elemen sejahtera dalam silibus mereka,” katanya mengulas elemen sejahtera dalam kalangan IPT ketika menjadi ahli panel Webinar Antarabangsa dalam Kepimpinan Pengajian Tinggi anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya sering mengingatkan bahawa graduan kini tidak boleh bergantung pada kelayakan akademik semata-mata untuk mendapatkan kerja dalam pasaran.

Kelayakan akademik menjadi sebahagian daripada asas utama yang perlu dimiliki graduan, namun untuk menentukan kesejahteraan dan jaminan kerjaya, golongan itu perlu mempunyai nilai tambah dalam diri masing-masing.

MQA selalu menitikberatkan mengenai kemahiran insaniah menerusi penguasaan pelbagai bahasa, kepemimpinan, kemahiran berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah.

“Semua elemen itu ialah perkara yang perlu diberi penekanan oleh IPT di negara ini supaya mereka mampu mempersiapkan pelajar dengan semua kemahiran itu serta memberi jaminan lebih baik dalam pasaran kerja.

“Kita ada mendengar ramai dalam kalangan jururawat tempatan mendapat peluang pekerjaan di luar negara dengan gaji lebih lumayan dan pastinya kriteria diperlukan untuk bekerja di luar negara bukan sekadar kelayakan akademik, tetapi kemahiran nilai tambah lain turut diambil kira, misalnya penguasaan bahasa tempatan negara yang menawarkan pekerjaan itu.

“Jadi, inilah konsep kesejahteraan seimbang yang perlu diberi perhatian serius oleh IPT untuk melahirkan graduan berkualiti global,” katanya.

Sumber : Olah kurikulum pastikan relevan ilmu (bharian.com.my)

Skip to content