International Islamic University Malaysia

UIAM edar 27,044 kit ujian Covid-19 sempena pembukaan semula kampus bermula hari ini

GOMBAK: Seramai 6,872 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kembali semula ke kampus hari ini dengan prosedur pendaftaran lebih ketat membabitkan empat kampus – Gombak, Kuantan, Pagoh dan Kuala Lumpur.

Rektor UIAM, Dzulkifli Abdul Razak berkata, pelajar yang kembali ke kampus adalah mereka terdiri daripada pelajar yang terlibat dengan aktiviti di dalam studio, makmal dan bengkel serta berkeperluan khas seperti akses pembelajaran di rumah yang sangat terhad.

Pembukaan semula kampus institut pengajian tinggi di seluruh negara hari ini selaras dengan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi yang membenarkan pelajar kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat.

Dzulkifli berkata, sebagai persediaan menyambut kedatangan semula pelajar, setiap mahallah (kolej kediaman) sudah disanitasi, malah pihak universiti mewujudkan blok mahallah kuarantin sebagai persiapan dan langkah berjaga-jaga dalam memastikan suasana kampus kekal dalam zon hijau.

“Pihak universiti juga sudah mengagihkan sebanyak 27,044 kit ujian kendiri Covid-19 di setiap kampus UIAM untuk digunakan semasa proses pendaftaran,” katanya ketika ditemui semasa meninjau proses pendaftaran kemasukan pelajar UIAM.

Beliau berkata, pembelajaran secara bersemuka juga diharap dapat merapatkan kembali jurang antara pelajar di bandar dan luar bandar, khususnya mereka yang tinggal di pedalaman sepanjang pembelajaran secara maya akibat penularan Covid-19.

Tegasnya, kaedah berkenaan dilihat tidak adil kepada pelajar yang tinggal di pedalaman khususnya yang mempunyai perkhidmatan internet yang terhad.

“Dalam pendidikan kita nak semua dapat sama rata, ini (pembelajaran atas talian) susah untuk kita tentukan khususnya bila mereka tinggal di kampung.

“Bila pelajar kita tidak mendapat kesan sama rata, kesudahannya kita ada masalah, bila mereka datang balik, yang sudah ada prasarana baik akan maju, yang tidak ada (kemudahan internet) akan ketinggalan, sebab itu kita rasa belajar bersemuka lebih penting kerana kita percaya keadilan dalam pendidikan perkara yang kita tidak boleh nafikan.

“Khususnya anak luar bandar yang sudah pun tercicir akan tercicir lagi. Sebab itu kita berusaha sangat untuk mereka datang ke sini (kampus) belajar secara bersemuka dan dapat kita bantu dari segi akademik,” katanya.

Beliau turut mengakui pembelajaran secara maya menyebabkan kualiti pelajar berpecah kepada beberapa kumpulan dengan keputusan yang berbeza-beza.

“Bila mereka berkumpul balik, baru kita tahu ada yang tercicir dan ada yang maju. Untuk seragamkan balik bukan perkara senang sebab itu kita berusaha sangat minta kementerian (KPT) benarkan kembali sesi bersemuka,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar tahun 2, Ahmad Rusydi Muhammad ketika ditemui FMT meluahkan rasa terujanya berpeluang kembali ke kampus setelah beberapa bulan mengikuti pengajian dari rumah.

“Persekitaran di kampus lebih memudahkan saya menerima maklumat yang ingin diperolehi mengenai jurusan yang diambil. Di kampus, ada wifi jadi penerimaan lebih mudah sebab tiada gangguan internet berbanding di rumah,” kata pelajar Kulliyyah Ilmu Wahyu and Sains Kemanusiaan.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada rakan kampus agar menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin tanpa mengabaikan SOP ketat yang ditetapkan oleh pengurusan kolej kediaman dan universiti.

“Situasi sebelum ini, kita terkurung di rumah tetapi sekarang kita dapat kembali ke kampus, diharapkan kita dapat fokus dalam pembelajaran kita dalam semester baharu ini dan berjaya dengan lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, pelajar semester 1 jurusan Sains Komputer, Ainul Mardhiah Muhammad Rafiq berkata, SOP yang menetapkan pelajar yang sudah kembali ke kampus tidak boleh keluar dari kawasan universiti perlu dipatuhi agar keselamatan komuniti kampus sentiasa terbela.

“Saya dapat ‘adapt’ dengan situasi baharu ini, SOP ini juga untuk jaga keselamatan diri kita semua. Saya yakin dengan pengurusan universiti dan saya sendiri akan jalankan kewajipan saya untuk sentiasa patuh kepada SOP sepanjang berada dalam UIAM,” katanya.

Source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/15/uiam-edar-27044-kit-ujian-covid-19-sempena-pembukaan-semula-kampus-bermula-hari-ini/

Generated by Feedzy Skip to content